Nak Nikah? Sebab apa?

|




“Macam best jer bernikah” kata sahabatku.
“Haah kot..kawan2 ramai yg dah kawen” aku menyampuk.
“Kalau ko..kenapa ko nak bernikah?” aku bertanya pulak.
“Entah..” dia menjawab..

Haih..aku mmg selalunya susah nak terima jawapan yang sebegini, entah, tak tau..dan sebagainya kerana aku seorang yang suka mengikut logic akal. Setiap persoalan, mesti ada jawapannya. Itu yang aku percaya lalu aku terus memancing jawapan seterusnya.
“Antara-antara sebab berikut, mana yang ko pilih?” aku terus lagi bertanya.

Cintakan kekasih? Sunyi, dan bosan keseorangan? kerana nafsu? nak ikut sunnah Nabi – demi menghalalkan yang haram?mahukan zuriat penyambung generasi? atau mak ayah yang paksa?

Itulah lebih kurang soalan aku. Namun aku masih tidak puas hati. Dia masih lagi menjawab, “entahlah”. Aduhai,geram terasa. Aku mula memberi hujahku mengenai hal ini.
“Kalau aku, aku mungkin akan bernikah kerana semua sebab tersebut, kecuali satu..CINTA.”


Cinta Sebelum Nikah Vs Cinta Selepas Nikah.

Cinta adalah suatu perasaan yang suci dan indah dan cinta yang tercipta akibat didorong oleh rasa takut kepada ALLAH pastinya akan membawa kebaikan dan kebahagiaan kepada manusia. Sebaliknya pula bagi cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan hasutan syaitan, ianya pasti tidak akan berkekalan selamanya membahagiakan. Mungkin segalanya akan terasa ‘indah’ namun itu semua hanyalah tipu muslihat syaitan semata. Malahan mungkin akan menyebabkan rasa gundah gulana, resah dan akhirnya kecewa. Dan pastinya, cinta yang sejati dan agung tentunya hanyalah untuk ALLAH swt...kerana Dia satu-satunya Pencipta kita yang maha berhak.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman:
Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka.”
– Riwayat al-Bukhari -


Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Namun semuanya itu harus di lakukan mengikut syarat dan batasan-batasan yang tertentu yang telah ditetapkan. Berhubung dengan percintaan sebelum kahwin yang banyak berlaku di banyak negara Islam sebenarnya diambil dari budaya barat, ternyata ia mempunyai lebih banyak kesan negatif berbanding positif.
Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah.

Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan. Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.

Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka. Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.


Komentar C.I.N.T.A

Komentar Aku Apa itu cinta? Kenapa kita menyintai? Syukur Alhamdulillah jika kita menyintai seseorang itu kerana Allah, ini cinta yang suci dan agung. Cinta semata-mata kerana inginkan keredhaan dariNya. Cinta kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Cinta kepada dia kerana yakin dia boleh membangkitkan semangat kita untuk berjuang mendapatkan keredhaan dari Allah. Cinta kepada dia kerana dia yang mendorong rasa rindu kepada Allah. Cinta kepada dia kerana dia yang mampu menjamin kenikmatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Cinta kepada dia kerana dia yang sanggup bersusah payah, suka dan duka bersama kita berjihad menuju jalan Allah. Cinta kepada dia kerana dialah insan yang berkemampuan untuk menyambung zuriat kita, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Cinta kepada dia kerana dia juga mencintai Allah. Alhamdulillah..Jika kita di kurniakan cinta yang sebegini, maka rugilah kita jika kita menolak cinta ini.

Namun, sebanyak mana orang yang mampu menyintai kita kerana sebab-sebab itu semata? Puji-pujian kepada Allah, syukur hanya kepada Dia jika kita di anugerahkan rasa cinta dan di cintai seindah ini. Alhamdulillah. Bagaimana kalau si dia cintakan kita kerana sebab-sebab berikut:

Dia mungkin cintakan kita kerana kita ni cantik, tubuh kita ramping yang menggiurkan atau kacak yang mempesona, dia mungkin cintakan kita kerana pertuturan kita yang lemah lembut, kerana suara kita yang merdu menggoda. Dia mungkin mencintai kita kerana mata kita yang indah, bak kata pepatah, dari mata turun ke hati. Dia mencintai kita mungkin kerana kelincahan kita, kerana kecekapan kita. Dia mungkin mencintai kita kerana kebijaksanaan kita berdebat meluah pendapat. Dia menyintai kita mungkin kerana wang kita dan harta kita, atau kerana karier , status dan ‘siapa’ kita yang membanggakan atau macam-macam lagi sebab.

Namun, mari kita soroti dengan lebih mendalam. Bagaimana andai secara mengejut Allah takdirkan kita bisu. Adakah dia yang menyintai kita kerana kemerduan dan kepetahan kita akan masih menyintai kita? Bagaimana kalau Tuhan takdirkan kita buta..adakah dia yang menyintai kita kerana tajamnya panahan mata kita akan masih menyintai kita? Bagaimana kalau Tuhan takdirkan kaki kita kudung, lumpuh tidak mampu bergerak, adakah dia yang menyintai kita kerana kelincahan kita akan tetap menyintai kita? Bagaimana kalau tiba-tiba muka kita cacat, tidak lagi secantik dulu atau berkedut sana sini, adakah dia masih menyintai kita? Bagaimana pula kalau kiranya kita ditakdirkan tidak dapat melahirkan anak? Adakah dia yang mencintai kita kerana kita melahirkan zuriat untuknya akan terus menyintai kita?

Mungkin juga tidak kerana cinta kepada sesuatu yang ada pada kita, bermakna cintakan suatu yang tidak kekal, yang bermaksud, boleh diambil kembali olehNya yang Maha Berhak ke atas hamba-Nya pada bila-bila masa sahaja. Semua itu hanyalah pinjaman. Malahan, cinta itu sendiri juga suatu pinjaman. Suatu nikmat yang boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Maka. InsyaAllah, aku tidak akan sekali-kali menerima cinta kerana suatu yang tidak pasti. Aku pasti akan menyintai, dan dicintai..tapi Tuhan, jika Kau takdirkan aku jatuh cinta, Kau jatuhkanlah cintaku ini kepada dia yang mencintaiku kerana Mu.”


p/s:Mas kawin selangor RM300=JD60..mahal ker?

Jodoh itu ketentuan Tuhan

|



Jodoh itu ketentuan Tuhan

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan qabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada.Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada. Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.

Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.

p/s:ada sorang kawan ana ni asik tulis artikel psl kawin je..bila la agaknya..kata nak bertunang..huhu.


IT'S EASY AND WONDERFULL BEING HAFIZ/HAFIZAH AL -QURAN (2)

|




Nabi saw pernah bersabda, sebaik-baik kamu adalah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya".



Sebenarnya menghafal Al-Quran adalah satu aktiviti pembelajaran yang sangat seronok. Menghafal bukan sahaja menjadikan kita orang yang baik, bahkan ia mengasah otak kita menjadi tahan lasak dan berupaya menahan segala macam jenis tekanan.

Seseorang yang ingin menjadi komando, dipaksa duduk di dalam hutan selama berbulan-bulan lamanya dan hanya berbekal dengan alat-alat asas untuk hidup. Biasanya mereka hidup diberi makan, tetapi kali ini mereka terpaksa mencari makan. Biasanya mereka tidur di atas tilam empuk dan bilik yang berhawa dingin, tetapi kali ini mereka terpaksa tidur entah dimana, mungkin di celah-celah akar kayu, di atas pokok dan mungkin di bawah terik matahari dan terdedah dengan macam-macam jenis serangga dan binatang berbisa. Kenapa mereka dipaksa hidup dalam susah sedangkan ada kesenangan di luar sana?


Cuba kita lihat......

Sekembalinya mereka dari hutan, mereka adalah orang yang tahan lasak. Berdaya juang tinggi. Boleh hidup dimana sahaja mereka berada. Hidup susah pun tidak mengapa, hidup senang apatah lagi. Saya pernah dengar, komando dari mesir boleh hidup tanpa air selama 7 hari. Hebatnya komando. Kuatnya mereka.





Begitulah para penghafal Quran. Aktiviti menghafal sesuatu yang sukar, berat dan memerlukan daya ketahanan yang tinggi. Penghafal perlu sabar, tekun dan fokus dengan apa yang dilakukan. Mereka perlu berbuat demikian sehinggalah tamat hafalan 30 juzuk. Lama tu.....Biasanya masa yang diperlukan untuk tamat, paling sekejap 1 tahun setengah dan biasanya 2 hingga 3 tahun baru tamat. Mereka akan hidup tertekan selama tempoh masa tersebut. tetapi, apabila mereka sudah biasa dengan tekanan ini, mereka adalah "komando". Mereka tahan lasak. Mereka akan mudah menghadapi tekanan akademik yang lebih ringan dan mudah. Sebab itulah kita sering dengar dalam media massa, surat khabar, tv dan sebagainya, kebanyakan pelajar cemerlang biasanya ada latar belakang belajar dan menghafal Al-Quran.



Nabi saw bersabda yang mafhumnya, "bacalah Al-Quran sebanyak-banyaknya. Darjatmu di syurga adalah mengikut banyak mana ayat Al-Quran yang telah kamu baca".




Menghafal Al Quran mestilah mengikut kaedah-kaedah yang betul. Dalam Malaysia, terdapat banyak Maahad Tahfiz dan biasanya setiap maahad ini mempunyai keadah menghafal masing-masing yang diguna pakai terhadap pelajar. Bagi saya, apa pun kaedahnya, faktor kejayaan sebenar adalah terletak di atas sejauh mana kesedaran para penghafal itu sendiri. Pelajar yang rajin, tanpa perlu disuruh, mereka mampu menghafal mengikut sasaran yang ditetapkan. mengulang hafazan lama mengikut jadual yang dirancang. Hafalan mereka cemerlang dan ingatan mereka terhadap Al-Quran sangat gemilang.


Tetapi pelajar yang malas, tiada kesedaran, bukan sahaja tidak mampu malah dipaksa pun mereka tetap dengan keadaan mereka. Para penghafal perlu kepada motivasi setiap hari dan setiap masa kerana beban mereka berat. Biasanya manusia yang lemah iman, pasti akan bertanya "apakah yang aku dapat sekiranya aku melakukan ini dan itu". Mereka akan bertanya apa yang aku dapat sekiranya aku bermati-matian menghafal Kalamullah ini.



Pernah terjadi di Lumut Perak, sekumpulan tentera yang ditugaskan untuk memindahkan mayat di tanah perkuburan, gempar apabila mendapati salah satu dari mayat tersebut tidak reput, kekal seperti baru dikebumikan. Semua yang terlibat dengan operasi tersebut tertanya-tanya siapakah sebenarnya manita tersebut.

Walaupun telah dikebumikan hampir 70 tahun lamanya, jasadnya dipelihara Allah swt. Rupa-rupanya, setelah diselidiki, wanita tersebut adalah seorang yang sangat mulia orangnya, sangat baik akhlak dan peribadi. Menghabiskan masa hidupnya berkhidmat demi Al-Quran tanpa sebarang upah.


Hebatnya penghafal Quran. Mayatnya dipelihara Allah swt. Tapi penghafal yang bagaimana? Adakah semua orang yang hafal Al-Quran akan dapat kemuliaan seperti itu? Hari ini kita lihat ramai yang hafal Al-Quran, tetapi perangai tak bagus. Keji. Hafal Quran tetapi dating dengan makwe. Hafal Quran tapi hisap rokok. Hafal Quran tapi penampilan dan pakaian teruk. Hafal Quran tapi mengumpat. Hafal Quran tapi semua jenis maksiat dia buat.


Saya bukan Tuhan untuk tentukan siapa yang masuk syurga atau tidak. Tetapi secara logiknya, orang jahat, tempatnya di neraka.







Nabi saw bersabda, sesiapa yang meletakkan Al-Quran dihadapannya, dia akan dipimpin Al-Quran sehingga masuk ke syurga. Tetapi sesiapa yang meletakkan Al-Quran dibelakangnya, dia akan dicampak ke neraka".



Nauzubillah min zaalik. Oleh itu, marilah kita amalkan Al-Quran. Orang yang menjaga solat, memelihara anggota dari maksiat, selalu bermunajat memohon pertolongan dari Allah swt akan dipermudahkan baginya menghafal Al-Quran dan mendapat kemuliaan seperti wanita yang tidak reput tadi.


Ya Allah, jadikanlah kami orang yang soleh. Ya Allah, jadikanlah kami orang yang beramal dengan Al-Quran. Ya Allah, ikhlaskanlah niat kami. Ya Allah, bantulah kami. Kami ini hambamu yang lemah.


Ya Allah, perkenanlah doa kami. Amin Ya Rabbal 'Alamin.




Jangan Pisahkan Aku Dan Dia.Tuhan Tolonglah Ku Cinta Dia.

|






Aku memandangnya. Sayu. Hambar. Lesu. Tanpa rasa. Dia masih seperti itu. Lama aku tinggalkannya. Sejak sebulan lalu. Kami tidak bertegur sapa. Tiada ucap cinta, tiada sentuhan, tiada belaian, tiada... segalanya seperti seolah-olah tidak pernah berlaku.

Aku jadi gelisah, sejak dua hari lalu, urusanku seringkali tertangguh, bermasalah dan tiada penyelesaian. Aku seperti kehilangan sesuatu. Wang? Cukup, malah lebih daripada mencukupi.Lapar? kenyang hingga melampau-lampau, sebut apa sahaja semuanya lalu. Sakit? Aku masih bisa berjalan, berlari, bergerak cergas seperti orang lain. Teman? Banyak teman-teman disisiku yang mengasihiku, ibu bapa yang memberi dorongan padaku.

Lantas apa? Aku ini kehilangan apa dalam hidupku? Aku jadi penasaran terus!!!

Suatu hari aku terpandangnya. Hasrat hati ingin menegur tetapi aku tiba-tiba jadi kaku. Malu, malu kerana aku telah meninggalkannya, malu kerana aku mengabaikannya, malu kerana aku tidak menyentuhnya, membelainya bahkan sudah lama dia tidak kusapa.

Lalu aku beranikan diri. Aku menyentuhnya. Tiba-tiba, hati jadi sayu. Jiwa jadi terharu. Fikiranku keliru. Saat jariku menyentuhnya, segalanya berubah. Lantas ia kucium. Kutatap wajahnya. Dia seakan tersenyum padaku. Aku hiba. Luluh jiwaku. Rasa pedih dan kehilangan mulai hilang sedikit demi sedikit. Kami saling berhadapan.

Aku mulakan bicaraku, sepatah demi sepatah. Dia seolah mendengar. Tuhan pun mendengar sama. Seluruh jasadku jadi menggeletar tiba-tiba katanya, "Setiap yang hidup pasti akan mati." Saat itu aku rasa seolah dia memberitahuku siapa aku sebenarnya.

Tambahnya, kata Tuhan, "Tidak aku ciptakan manusia kecuali untuk menyembahKu." Aku teringat sesuatu.

Aku pernah mendengar itu suatu masa dahulu. Ya, dia pernah mengatakan itu juga. Aku tatap ia lagi. Masih tidak puas. Ah rupanya ada sesuatu antara kami. Ada rindu yang tak berkesudahan. Ada cinta yang tak terungkap. Ada bicara seribu makna.

Lagi.. ada kasih yang masih tak terucap. Terus aku koreksi hati. Ini yang aku cari. Sebuah cinta tinggalan kekasih hati. Sebuah kitab yang tersimpan lama milik Tuhan untuk insan. Beribu bicara tuhan masih tersimpan. Selagi belum kiamat, ia akan terus dibela, dipelihara.

Ah hati mahu kamu rupanya Furqan, Kitaab, A-Zikr, atau nama panggilan biasa mu Al-Quran. Tuhan, jangan pisahkan kami!!! Jangan biarkan aku merana begini! Wahai hati, baliklah padanya. Walau sesibuk mana. Ia masih di situ. Menantimu. Sampai tiba waktumu..



Bersama sahabat-sahabat di DQ



Ketika tasmik al quran

p/s:Teringat zaman muda-muda ketika di maahad tahfiz dulu..kena rotan,kena jemur tengah panas..sekarang,semuanya atas diri sendiri nak murajaah hafalan quran..Terima kasih Ustaz Haron Al-Fathani,Ustaz Salleh sani al-hafiz,Ustaz Rizal,dan Sheikh Muhammad Abd Nabiey..Moga Allah balas jasa kalian.


"ALLAHUMMA JA'ALNA MIN AHLIL QURAN ALLAZINAHUM AHLAKA WA KHASSAH"


Bantuan Kewangan Perubatan Untuk Nabilah Huda Bt Zaim

|





Saudara seiman dan seakidah sekalian,

Seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut dalam Jurusan Syariah di University of Yarmouk, Irbid (terletak kira-kira 150 km ke utara dari Amman, Jordan),

Saudari Nabilah Huda binti Zaim

telah disahkan menghidap Leukemia tahap kronik dan memerlukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum pada bulan Disember ini.

Kos pembedahan ialah sebanyak RM70 000 (RM50 000 untuk pembedahan dan RM20 000 untuk rawatan susulan)

dan ia tidak ditanggung oleh penaja beliau, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Sehubungan dengan itu, saya berbesar hati untuk sama2 membantu dan mengajak rakan2 semua untuk sama2 menyumbang bagi menampung pembedahan beliau.

Tidak kira banyak atau sedikit, usaha kecil kita ini insyaAllah membantu.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan

Saudara Zaim Bin Shaari (bapa Nabilah) di talian +6013-3521226.

Sumbangan daripada para dermawan bolehlah dibankkan terus ke akaun-

(Maybank Zaim bin Shaari 162517025794)

Hp: +6013-3521226

Mari kita doakan agar saudari Nabilah Huda dan keluarganya dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berpanjangan sepanjang melalui ujian daripada Allah SWT ini…Sesungguhnya penyakit itu daripada Allah, maka Allah jua yang akan meyembuhkan dan mempermudahkan….

~~Kepada semua kawan2 blogger yang membaca artikel ini, sama2lah kita membantu saudari Nabilah Huda Bt Zaim dengan mengcopy-paste posting ini ke laman anda…mudah2an kerja kita ini ada nilainya disisi Allah swt…Terima Kasih… ~~Allahumma yassir wala tu’assir….Amin..

LINK SUMBER : http://www.uwaisqarny.blogspot.com/

Cinta Al-Humairah

|



CINTA AL-HUMAIRAH

"KAU lelaki tak punya perasaan." Sergah suatu suara mematikan lamunanku suatu petang.

"Kau lelaki pasif. Angkuh dan ego dengan kekacakanmu. Tidak pernah memikirkan hati manusia lain yang bernama wanita." Suatu suara lain lebih merdu persis suara wanita.

"Aku?" Aku bertanya suara-suara yang aku dengar tadi.

"Ya..." Mereka menjawab serentak. Aku terkasima.

"Siapa kamu berdua. Apa tujuan kamu mengganggu aku?"

"Kau tak kenal kami Akhi?" Soal suara si wanita yang merdu itu. Aku cuma menggeleng. Tubuhku mula menggeletar. Aku bukan bermimpi lagi. Suara itu semakin jelas didengari. Ia bukan ilusi.

"Aku tak kenal kamu berdua!" Jelasku bernada getar.

"Kau yang mencipta kami. Kau lupa?"

"Cipta??? Cipta... aku cipta kamu berdua?" Aku semakin bingung. "Bila pula aku cipta kamu berdua?" Aku kembali melontar persoalan.

"Kau memang cepat lupa... Akhi. Aku tahu kau seorang penulis karya seni tapi hari ini kau melupakan watak-watak karyamu yang pernah kau cipta itu." Suara si lelaki mendatar. Aku dapat membaca kekecewaan yang terzahir.

"Kau kagum bila karyamu dipuji-puja. Tapi kau sepatutnya merasa bersalah menciptakan watak-watak seperti kami! Apa motif kau berkarya Akhi?" Soalan merdu wanita tadi kembali menghantui.

"Kenapa pula kamu berdua kata begitu?" Aku memberanikan diri bertanya suara-suara tadi. Aku bangun dari katil bujangku mengahampiri jendela bilik di sebelah barat. Suara tadi seolah-olah terpacul dari situ. Aku yakin aku perlu mendapatkan penjelasan selanjutnya dari mereka.

"Habis???" Soal suara si lelaki kembali.

"Aku tidak gemar berbicara dengan orang yang tidak aku kenali!"

"Kau memang pandai mencipta provokasi dan falsafah yang menyusahkan orang."

"Aku tidak bermaksud begitu."

"Itu bukan urusan aku."

"Siapa kamu berdua? Aku lebih suka mengenali..." Tuturku lembut.

"Baiklah... Aku jelaskan padamu yang aku ini watak yang pernah kau cipta dalam karyamu. Aku muncul untuk menuntut hak aku."

"Hak kau??? Siapa kau wahai suara?"

"Aku Syam. Kau tentu kenal bukan?"

Syam! Akalku ligat berfikir. Mencari insan bernama Syam. Tetapi gagal untuk bertemu. Aku jadi serba salah.

"Aku Aisyah." Sambung suara merdu yang kian lama terdiam.

"Syam... Aisyah?" Aku masih mencari.

"Kami berdua watak yang kau cipta dalam karyamu yang berjudul Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Apa kau dah lupa. Ahhh.. sesingkat itu kau melupakan kami."

"Aku masih ingat..." Jawabku sepontan.

"Ha.. Ha.. ha.. ha... Hi.. hi.. hi.." Suara Syam dan Aisyah ketawa mengilai. Aku berundur sedikit ke belakang. Tubuhku seram sejuk. Aku rasa mahu saja aku terus lari meninggalkan suara-suara tadi. Suara-suara yang aneh dan menakutkan. Bulu romaku kembali terpacak.

Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya. Jantungku berdegup semakin kencang. Kak Long masuk ke dalam bilikku sambil menatang sedulang juadah. Aku mengawal diri supaya tidak timbul syak di hati Kak Long. Peristiwa tadi biarlah menjadi igauanku seorang. Kak Long tersenyum ke arahku. Aku membalas dengan senyuman yang hambar. Suara-suara tadi sudah menghilang entah ke mana.

"Hai Syam lain macam saja akak tengok. Kenapa?"

"Syam tak apa-apa." Ujarku manja.

"Ada masalah ke adik akak ni?"

"Tak adalah Kak Long!"

"Betul ni?" Aku mengangguk terharu. Kak Long meletakkan dulang berisi juadah minum petang di atas meja. Aku cuma memerhatikan.

"Ishk... sayang betul Kak Long kat Syam. Buat susah susah saja." Aku berbasa-basi. Senyuman Kak Long semakin manis. Kak Long mencapai sebuah Novel dari rak bukuku seraya menunjukkan reaksi meminjam sambil berlalu keluar. Pintu kembali tertutup. Kak Long minat membaca. Malah dia pernah menulis Cerpen dan puisi. Tetapi Kak Long sudah usai semenjak bersuami. Aku merapati meja bacaanku. Kemudian menekan punat power supaya Komputer peribadiku yang semakin dimamah usia itu kembali bertugas. Akalku ligat mencari-cari watak-watak yang pernah aku ciptakan. Seolah ianya seperti tugasan dari suara-suara tadi yang kian mengahantui benak. Aku mula menceroboh fail-fail yang tercipta dari folder-folder yang berlambak-lambak itu. Kuselak satu demi satu karya-karya yang pernah aku hasilkan. Bermula dengan puisi-puisi, esei dan cerpen. Aku lebih tertarik menyelongkar cerpen, kerana biasanya aku gemar mencipta watak menerusi cerpen atau novel. Jarang aku mencipta watak-watak lain dalam genre penulisanku yang lain.

Akhirnya aku menemui cerpen berjudul Dia Seorang Teman. Seperti yang dinyatakan suara-suara tadi. Aku terus menekan mouse komputerku. Malangnya fail itu sudah kosong. Ini bermakna aku harus menyelongkar disket pula. Usaha tidak berpenghujung di situ walaupun disket yang aku maksudkan itu telah dipinjam oleh adikku Syahrul. Mindaku kembali ligat memikirkan alternatif menemukan kembali kisah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah).

Akhirnya aku mampu membuat konklusi dari sinopsis yang aku cantumkan dari ingatan yang menerpa membantu. Sebenarnya 'Dia seorang teman' adalah sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan dua orang teman. Watak hero bernama Syam; seperti namaku dan heroinnya bernama Aisyah. Berlatarkan kehidupan sebagai anak desa Tambak Budi sebuah kampung nelayan Syam dibesarkan dalam keluarga sederhana dan belajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Manakala Aisyah membawa watak gadis pintar yang juga anak jati Tambak Budi tetapi membesar dan menghabiskan usia kanak-kanaknya bersama Ibu saudaranya di daerah lain.

Bapanya seorang pesara tentera sedang ibunya pula seorang pendidik. Syam bertemu Aisyah di Pantai desanya sewaktu berhibur mendengar kicauan camar dan memerhati alam. Kebetulan mereka satu sekolah malah sekelas. Semenjak sapaan pertamanya dibalas, Syam dan Aisyah membina keakraban sebagai kawan sekelas. Berpendidikan di Sekolan Agama dan tinggal di asrama. Mereka membawa watak bijak sehingga berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM hasil kecekalan usaha bersama. Setelah SPM diumumkan Syam dan Aisyah memohon ke Matrikulasi UIAM. Permohonan mereka berjaya. Namun Keluarga Syam menginginkan dia melanjutkan pelajarannya ke Jordan. Kemahuan keluarga diturutkan dan Aisyah terasa diabaikan. Aisyah hilang pertimbangan. Dia menghilangkan diri. Sewaktu permusafiran Syam ke Jordan, Aisyah menukar haluan. Dia tidak mendaftar di Matrikulasi UIAM sebaliknya memilih untuk belajar di Kolej Swasta. Tinggal bersama rakan-rakan liar di rumah sewa. Aisyah mula berubah. Dia meninggalkan kelazimannya menutup aurat. Akhirnya Aisyah terjebak alias diseret ke dunia jengkel Lesbianisme. Mencintai kaum sejenis dan hubungan Seks di luar tabie. Syam terpana sewaktu mengetahui berita itu melalui buku kecil milik Aisyah yang sengaja ditinggalkan terlempar di pantai sewaktu bertemu dengan Syam yang baru pulang dari Jordan.

Dari apa yang tertulis dalam buku itu, barulah Syam mengerti Aisyah menaruh harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Diruntun desakan ibunya (syam) supaya perhubungan antaranya dengan Aisyah ada pertalian dan ikatan. Akhirnya Aku (penulis) menemukan jodoh mereka. Syam bertemu Aisyah di pantai setelah memohon petunjuk melalui solat istikharahnya. Syam melamar Aisyah. Cinta yang terbina dari kekuatan kesetiaan. Percintaan perlu ada pertautan iaitu perkahwinan. Namun sayang sekali.... adakah Syam yang terlambat atau Aisyah yang bersalah!!!

AaaaaahhhhHHHHHH…..!!!!! Pening! Mindaku ligat berfikir tentang kisah yang pernah aku nukilkan. Di mana salahku? Sehingga aku diserang suara-suara ganjil yang

mengaku sebagai Syam dan Aisyah. Aku pernah mencipta watak-watak lain. Misalnya watak Alif sebagai hero dalam cerpen berjudul 'Lagenda Gadis Kedai Bunga', watak Wirda heroinnya, Watak Fatimatul Zahra dalam cerpen 'Warkah Buat Puteriku', watak Taufiq, Fuad, Azmi dan Fikri dalam 'Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah', Alif, Siti, Fakrul dan Saiful dalam Nostalgia 797 malah banyak lagi; kesemuanya tidak pernah mengganggu aku. Tapi watak Syam dan Aisyah dalam cerpen Dia seorang

Teman tiba-tiba menggangguku pula. Mengapa? aHHH... Aku kepeningan memikirkan hal itu. Apa salah aku sehingga Syam dan Aisyah seolah tidak berpuas hati denganku. Aku Buntu!

Aku menemukan mereka sebagai pasangan kawan yang ideal pada awalnya. Aku tautkan kasih sayang yang lahir dari jiwa seorang teman, sehingga saat perpisahan mereka dirasakan amat berat kala remaja. Aku wujudkan perasaan cinta yang terbina dalam runtunan jiwa remaja mereka berdua sewaktu dipisahkan. Dan aku temukan mereka di desa asal mereka sehingga Syam akhirnya menyatakan kecintaan yang lahir dalam jiwa mereka yang sudah lama terbina. Akhirnya aku tautkan percintaan murni mereka itu dengan perkahwinan sebagai ikatan yang sah. Di mana lagi silapku? Ah! Barangkali benarlah seperti yang pernah dituturkan; 'Sesuatu kelebihan yang ada pada diri seseorang, kadang-kala dinilai sebagai kelemahan oleh mereka yang berada di pojok yang lain.'

Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman ligat bermain di mindaku. Aku mencicip milo yang masih berasap yang dihidang Kak Long. Kujamah cucur udang cicah kuah kacang pekat. Aku tersenyum sendiri. Jika suara-suara tadi datang lagi, sekurang-kurangnya aku sudah bersedia dengan jawapan untuk memastikan aku tidak bersalah. Kak Long pernah manjadi penulis karya kreatif suatu masa dahulu. Dia Digilai peminat. Malah dari kalangan peminatnya seorang jejaka yang kini menjadi suaminya.

Namun kini Kak Long sudah tidak aktif menulis lagi. Mengapa agaknya? 'Adakah dia juga diganggu watak-watak yang pernah dia cipta seperti apa yang aku alami? Kalau diganggu; adakah itu yang menyebabkan dia berhenti menulis?' Watak Syam dan Aisyah menuduhku lelaki tanpa perasaan, pasif, angkuh dan ego dengan kekacakan. Malah tidak pernah memikirkan perasaan orang lain terutama wanita. Aku bermonolog sendiri.

"Apa motif kau berkarya Akhi!" Soalan itu kembali menghantui. Maafkan aku Aisyah. Motifku, ingin meminta maaf daripadamu. Aku tidak pernah menafikan kau seorang teman yang baik. Kau hadir tika lara hati. Kaulah yang memujuk duka hati ini, melepaskan lara, memberikan semangat, mendorong kekuatan dan meresahkan jiwa sesekala warkahmu hadir mengusik.

Aku mengenali Aisyah sewaktu jiwa kekosongan sejurus gagal dalam cinta monyet. Cindrelela pertamaku terpaut hati pada lelaki lain. Belum sempat cinta itu mekar kami dipisahkan. Selepas SPM aku melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Dia masih di peringkat pengajian menengah waktu itu.

Perpisahan mengundang kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Namun itu semua sifar. Bibit-bibit cinta kami berakhir dengan kehadiran jejaka lain dalam hidupnya. Sewaktu menjelajah belantara ilmu di Bumi Laut Mati itu, Aisyah hadir mengisi kekosongan. Aku minta maaf darimu... Aisyah. Aku tidak tahu seawal perkenalan itu cintamu berputik padaku. Sedangkan aku masih belum bersedia menerima cinta itu lagi setelah gagal dengan cinta pertama. Aku terkasima memikirkan perjalanan hidup di usia remajaku. Aku mula sedar kala perhubungan kita semakin akrab cemburuku mendahului segalanya. Mungkin hatiku mula membina istana cinta terhadapmu. Aku mendapat tahu kau menjalin hubungan dengan lelaki lain. Aku tidak betah menerimamu secara realiti lagi setelah itu, meskipun cintamu terhadapku semakin berkembang. Aku terseret mengungguli cara As-Syahid Syed Qutub yang pernah meninggalkan cintanya terhadap seorang gadis gara-gara gadis itu ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. As-Syahid kemudiannya menumpukan cintanya pada perjuangan Islam.

Beliau akhirnya syahid di tali gantung sebagai hadiah cintanya terhadap janji Ilahi. Aku?

Hubungan kita akhirnya hambar. Lantas sengaja aku gunakan namamu, Aisyah sebagai watak penyeri untuk cerpen Dia Seorang Teman. Aku tidak bermotif menyakitkan hatimu, malah bukan untuk menambah sengsara jiwamu. Niatku sekurang-kurangnya watakmu bersatu dengan cinta Protagonis bernama Syam seperti namaku jua. Itu cara terbaik untukku meminta maaf. Aku kirimkan manuskrip cerpen itu padamu supaya dapat kau membacanya. Itulah motifku yang hakiki.

Selama seminggu selepas aku dihantui suara-suara misteri yang mengakui dirinya sebagai watak-watak cerpen Dia Seorang Teman kuhabiskan untuk mengumpul kekuatan, mencari idea dan menajamkan hujah. Penulisanku tergendala. Beberapa cerpen yang sedang kutulis terbengkalai. Esei ibarat karangan merapu. Malah penghasilan puisi-puisiku hambar dan tidak bernafas lagi. Aku kesesatan dalam belantara dunia penulisan. Dunia yang aku tempah sendiri. Berkenalan dengan penulis-penulis gergasi dan menceduk ilmu daripada mereka sehingga mampu menghasilkan cerpen-cerpen bermutu. Menggulung falsafah dan menaladeni disiplin penulisan yang mapan.

Sentuhan penulisan kreatifku semakin pudar warnanya. Lakaran puisi-puisiku setelah peristiwa itu hanya layak dibakulsampahkan. Kalau dihantar ke meja editor penerbitan hanya untuk menyemakkan cuma. Aku hilang semangat menulis. Rupanya apa yang aku alami disedari beberapa teman karyawan. Sukar aku menjelaskan situasi konflik yang kualami. Mereka pasti tidak memahaminya atau aku bakal ditertawakan nanti.

"Kenapa ni Abang? Termenung jer Su tengok dari tadi." Suraya isteriku mampir menegur. Igauanku serta-merta sirna. Nostalgia sewaktu menjadi Cerpenis alias pengarang kreatif suatu masa dulu hilang. Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman yang berlegar di minda hilang tiba-tiba. Aku kini sudah berumah tangga dan keaktifan menulis semakin kurang. Barangkali akibat kesibukan dengan kerjaya sebagai pensyarah di UITM.

"Petang-petang begini memang seronok termenung." Jawabku selamba.

"Ye lah... seronok. Lagi seronok kalau terkenangkan sesuatu yang istimewa." Ujar Suraya sinis memintas sambil perlahan-lahan duduk di kerusi batu sebelahku.

"Istimewa? Tak adalah... Mana ada. Nak kenangkan apa pula?"

"Mana lah Su tahu. Entah-entah...." Aku menoleh ke arah isteriku sambil tersenyum. Kalimah Suraya mati di situ.

"Entah-entah apa?"

"Entah-entah masih teringatkan Si 'dia' kot?"

"Siapa?"

"Sapa tu, Ai... Aisyah kot." Teka isteriku mengingatkan.

"Mana Su tahu ni?"

"Alah... Su dengar abang sebut nama tu tadi seorang-seorang."

"Betul ke?" Soalku menduga. Suraya menangguk.

"Su... dalam jiwa abang kasih dan sayang abang hanya buat isteri abang. Cinta abang hanya untuk Su! Sebab cinta abang hanya tumpah kepada insan yang menyintai

abang. Janganlah salah sangka."

"Akhi! Aku ibarat bayanganmu. Kau ciptakan aku sesedap rasa. Ibarat menterjemah kehidupanmu. Keluarga yang memartabatkan ilmu, Justeru ayahmu menghantar kau belajar di Jordan. Itulah yang kau lakarkan dalam Cerpen Dia seorang Teman. Unik dan cantik sekali lakaranmu terhadap watakku yang juga watakmu." Tutur Suara misteri berwatak Syam memotong perbualanku dengan Suraya.

"Jadi? Kenapa mesti kau tak puas hati dengan ciptaanku terhadapmu?"

"Aku tak puas hati kerana kau ciptakan Aisyah seorang yang terjebak lesbianime." Aku tersenyum mendengar tutur itu.

"Salah?" Soalku sambil mengangkat kening.

"Tentunya."

"Ia hanya sekadar cerpen. Kau harus faham. Cerpen adalah cereka yang belum tentu sahih. Namun tidak dinafikan ada cerpen yang bertitik tolak kisah benar. Dia Seorang Teman; bermotif untuk menonjolkan nilai pengorbanan yang tinggi dari seorang lelaki terhadap seorang wanita bernama Aisyah selain nilai-nilai lain. Aku menyeret khalayak pembaca menilai lesbianisme dan homoseksual adalah kepincangan yang wajib dibuang jauh dari dunia umat Islam." Jawabku yakin.

"Aisyah gadis baik. Berpendidikan agama di peringakat menengah. Dibesarkan dalam keluarga yang bertatasusila. Mengapa kau jebakkan dia dalam lesbianisme?"

"Itu bukan hal pelik. Kau lihat sahaja, ada gadis yang terjebak dalam kancah cinta dengan lelaki berlainan agama sanggup menukar agamanya alias murtad. Itukan lebih teruk?"

"Bukankah lebih baik kau temukan cinta antara aku dan Aisyah awal-awal? Barangkali boleh menghalang Aisyah daripada terjebak lesbianisme."

"Hei... cinta sejati cinta yang perlukan pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan..." Aku mengumpul kekuatan berhujah.

"Cinta sejati jarang tiada halangan. Kau lihat sahaja Kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Betapa benih cinta di hati Zulaikha tumbuh menyebabkan Yusuf terpenjara. Namun setelah Yusuf dibebaskan dan terpilih menjadi wazir cinta Zulaikha terhadap Yusuf bersatu. Zulaikha ditemui Yusuf di pasar dalam keadaan yang comot menyebut-nyebut nama Yusuf, sedangkan Zulaikha asalnya seorang jelitawan. Itu kisah cinta sejati yang bersatu. Ada juga cinta sejati yang tidak bersatu, terpisah dengan kematian dan sebagainya. Kau masih beruntung. Watakmu kucipta bersatu dengan Aisyah." Jelasku panjang lebar.

"Bukan itu maksudku!"

"Habis maksud kau... aku tidak boleh memisahkan kau dan Aisyah? Kau tidak boleh ke Jordan? Kalian perlu mendaftar di Matrikulasi UIAM bersama-sama. Begitu?"

Soalku mendesak. Tiada jawapan terpacul.

"Kau yakin cinta Aisyah padamu? Atau sedalam mana cintamu pada Aisyah? Atau kau nak kepastian ada bibit-bibit cinta Aisyah terhadapku dalam dunia relitinya. Aku baru nak menanam keyakinan. Tapi istana keyakinanku roboh ketika aku dikhabarkan Aisyah menjalin persahabatan dengan lelaki lain. Cemburuku begitu. Akukah yang bersalah tidak mampu menerima cinta Aisyah?"

Soalan terakhirku melenyapkan suara-suara misteri yang menggangguku. Aku lega setelah itu.

Dalam Cerpen Dia Seorang Teman aku menemukan Aisyah dan Syam. Itu cuma watak-watak yang barangkali tidak terjadi antara Syamsul Bukhari dan Aisyah sebenar dalam dunia realiti. Cukuplah sekadar aku menggunungkan falsafah pengorbanan seorang lelaki terhadap seorang temannya dalam cerpen. Dalam dunia nyata hidup bukan ibarat plot-plot cerpen yang bebas dilakarkan. Pengorbananku barangkali sesuai untuk insan lain. Aku menilai cinta sejatiku untuk insan bergelar isteri.

Kali terakhir aku membaca kalimah-kalimah Aisyah sewaktu masih berada di Jordan. Aisyah melafazkan dia sukar melupakan insan bernama Syamsul Bukhari. Sayang.

Semuanya sudah terlewat. Aku diikat pertunangan dengan Suraya, gadis pilihan keluarga yang kukenali semenjak kecil lagi. Cinta Suraya terhadapku cinta sejati. Mungkin cinta itu berputik sewaktu ayahnya pernah bergurau untuk berbesan dengan ayahku semasa kami masih kecil. Sewaktu aku berhempas pulas menamatkan pengajian di Jordan Suraya menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Cinta kami bertaut kembali di tanahair dan diikat dengan perkahwinan. Sepertimana aku pernah ciptakan untuk Syam dan Aisyah dalam Dia Seorang Teman.

Semalam aku terima emel dari Aisyah. Dia menjemputku ke majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka yang mengembalikan cintanya bernama Hisyam. Masih bernama Syam. Tahniah buatmu Aisyah.

"Abang khayal lagi?"

"Tak... abang tengah fikirkan sesuatu."

"Pasal apa?"

"Anak abang macam mana?" Soalku menukar topik sambil tanganku menjamah perut isteri tercinta seraya mengurut-ngurut cermat. Suraya tersenyum mesra. Perut isteriku semakin membesar hamil anak sulung hasil perkahwinanku dengannya sejak hampir setahun yang lalu.

"Anak abang jer?" Pintas Suraya bernada rajuk.

"Anak abang kan anak Su juga!" Wajah keruh Suraya kembali ayu.

"Bang... apa kita nak namakan anak kita ni?" Soal Suraya manja.

"Kalau perempuan kita namakan Humaira. Mesti comel macam ibunya."

"Emmm... sedap nama tu. Kalau lelaki?

"Kalau lelaki kita namakan Muhammad Al-Amin. Amacam?"

Bukankah Aisyah Ummul Mukminin isteri Nabi Muhammad SAW dipanggil Humairah?"


p/s: anak ana nanti nk bg nama AISHAH HUMAIRA.ok x??:)

Motivasi "CINTAI DIRI"

|



Bismillahirrahmanirrahim.Alhamdulillah,pada 22hb yang lepas Unit Akademik(UA) dan Unit Kebajikan dan Penempatan(UKP) PRISMA telah mengadakan Ceramah Motivasi “CINTAI DIRI” bertempat di Underground Villa Hijau selepas solat maghrib.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis Saudara Mohd Firdaus dan bacaan ayat-ayat suci al-quran secara bertarannum oleh Saudara Fadhil Noor.


Kemudian,majlis diteruskn dengn sesi Motivasi oleh Penceramah Jemputan,Ustaz Nordin Bin Samah,Pelajar Sarjana dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Albayt.Ustaz Nordin menerangkan kpd semua pelajar tentang kepentingn mencintai atau menyayangi diri sendiri.Ustaz juga memberikan nasihat-nasihat berguna yang dipetik dari Kitab Ihya’Ulumuddin,karangan Imam Al-Ghazali.


Seusai sessi motivasi,ustaz nordin juga mengendalikan Slot S.W.O.T. untuk sessi ini ini para peserta diminta membahagikan kertas yang diedarkan kepada empat bahagian dan diminta untuk mengisi ruangan itu bagi 1.STERGTH 2.WEAKNESS 3.OPPURTUNITY 4.THREAT. setiap peserta mesti mengenalpasti kekuatan,kelemahan,peluang dan ancaman di sekeliling mereka bagi mencapai matlamat diri.



Majlis kemudian ditangguhkan selepas sessi menyampaikan cenderahati kepada penceramah oleh Ustaz Mohd Nasir.Presiden PRISMA. Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan program yang dijalankan.Pihak PRISMA mendoakan agar kita sama-sama dapat mengambil manfaat dari apa yang disampaikan pada Ceramah Motivasi ini.Cintailah diri KERANA DIRIMU BEGITU BERHARGA.


Disediakan Oleh:


Abu Bakar Bin Mohamad Noor,

Ketua Unit Kebajikan & Penempatan

Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-Albayt(PRISMA)