Cinta Al-Humairah

|



CINTA AL-HUMAIRAH

"KAU lelaki tak punya perasaan." Sergah suatu suara mematikan lamunanku suatu petang.

"Kau lelaki pasif. Angkuh dan ego dengan kekacakanmu. Tidak pernah memikirkan hati manusia lain yang bernama wanita." Suatu suara lain lebih merdu persis suara wanita.

"Aku?" Aku bertanya suara-suara yang aku dengar tadi.

"Ya..." Mereka menjawab serentak. Aku terkasima.

"Siapa kamu berdua. Apa tujuan kamu mengganggu aku?"

"Kau tak kenal kami Akhi?" Soal suara si wanita yang merdu itu. Aku cuma menggeleng. Tubuhku mula menggeletar. Aku bukan bermimpi lagi. Suara itu semakin jelas didengari. Ia bukan ilusi.

"Aku tak kenal kamu berdua!" Jelasku bernada getar.

"Kau yang mencipta kami. Kau lupa?"

"Cipta??? Cipta... aku cipta kamu berdua?" Aku semakin bingung. "Bila pula aku cipta kamu berdua?" Aku kembali melontar persoalan.

"Kau memang cepat lupa... Akhi. Aku tahu kau seorang penulis karya seni tapi hari ini kau melupakan watak-watak karyamu yang pernah kau cipta itu." Suara si lelaki mendatar. Aku dapat membaca kekecewaan yang terzahir.

"Kau kagum bila karyamu dipuji-puja. Tapi kau sepatutnya merasa bersalah menciptakan watak-watak seperti kami! Apa motif kau berkarya Akhi?" Soalan merdu wanita tadi kembali menghantui.

"Kenapa pula kamu berdua kata begitu?" Aku memberanikan diri bertanya suara-suara tadi. Aku bangun dari katil bujangku mengahampiri jendela bilik di sebelah barat. Suara tadi seolah-olah terpacul dari situ. Aku yakin aku perlu mendapatkan penjelasan selanjutnya dari mereka.

"Habis???" Soal suara si lelaki kembali.

"Aku tidak gemar berbicara dengan orang yang tidak aku kenali!"

"Kau memang pandai mencipta provokasi dan falsafah yang menyusahkan orang."

"Aku tidak bermaksud begitu."

"Itu bukan urusan aku."

"Siapa kamu berdua? Aku lebih suka mengenali..." Tuturku lembut.

"Baiklah... Aku jelaskan padamu yang aku ini watak yang pernah kau cipta dalam karyamu. Aku muncul untuk menuntut hak aku."

"Hak kau??? Siapa kau wahai suara?"

"Aku Syam. Kau tentu kenal bukan?"

Syam! Akalku ligat berfikir. Mencari insan bernama Syam. Tetapi gagal untuk bertemu. Aku jadi serba salah.

"Aku Aisyah." Sambung suara merdu yang kian lama terdiam.

"Syam... Aisyah?" Aku masih mencari.

"Kami berdua watak yang kau cipta dalam karyamu yang berjudul Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Apa kau dah lupa. Ahhh.. sesingkat itu kau melupakan kami."

"Aku masih ingat..." Jawabku sepontan.

"Ha.. Ha.. ha.. ha... Hi.. hi.. hi.." Suara Syam dan Aisyah ketawa mengilai. Aku berundur sedikit ke belakang. Tubuhku seram sejuk. Aku rasa mahu saja aku terus lari meninggalkan suara-suara tadi. Suara-suara yang aneh dan menakutkan. Bulu romaku kembali terpacak.

Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya. Jantungku berdegup semakin kencang. Kak Long masuk ke dalam bilikku sambil menatang sedulang juadah. Aku mengawal diri supaya tidak timbul syak di hati Kak Long. Peristiwa tadi biarlah menjadi igauanku seorang. Kak Long tersenyum ke arahku. Aku membalas dengan senyuman yang hambar. Suara-suara tadi sudah menghilang entah ke mana.

"Hai Syam lain macam saja akak tengok. Kenapa?"

"Syam tak apa-apa." Ujarku manja.

"Ada masalah ke adik akak ni?"

"Tak adalah Kak Long!"

"Betul ni?" Aku mengangguk terharu. Kak Long meletakkan dulang berisi juadah minum petang di atas meja. Aku cuma memerhatikan.

"Ishk... sayang betul Kak Long kat Syam. Buat susah susah saja." Aku berbasa-basi. Senyuman Kak Long semakin manis. Kak Long mencapai sebuah Novel dari rak bukuku seraya menunjukkan reaksi meminjam sambil berlalu keluar. Pintu kembali tertutup. Kak Long minat membaca. Malah dia pernah menulis Cerpen dan puisi. Tetapi Kak Long sudah usai semenjak bersuami. Aku merapati meja bacaanku. Kemudian menekan punat power supaya Komputer peribadiku yang semakin dimamah usia itu kembali bertugas. Akalku ligat mencari-cari watak-watak yang pernah aku ciptakan. Seolah ianya seperti tugasan dari suara-suara tadi yang kian mengahantui benak. Aku mula menceroboh fail-fail yang tercipta dari folder-folder yang berlambak-lambak itu. Kuselak satu demi satu karya-karya yang pernah aku hasilkan. Bermula dengan puisi-puisi, esei dan cerpen. Aku lebih tertarik menyelongkar cerpen, kerana biasanya aku gemar mencipta watak menerusi cerpen atau novel. Jarang aku mencipta watak-watak lain dalam genre penulisanku yang lain.

Akhirnya aku menemui cerpen berjudul Dia Seorang Teman. Seperti yang dinyatakan suara-suara tadi. Aku terus menekan mouse komputerku. Malangnya fail itu sudah kosong. Ini bermakna aku harus menyelongkar disket pula. Usaha tidak berpenghujung di situ walaupun disket yang aku maksudkan itu telah dipinjam oleh adikku Syahrul. Mindaku kembali ligat memikirkan alternatif menemukan kembali kisah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah).

Akhirnya aku mampu membuat konklusi dari sinopsis yang aku cantumkan dari ingatan yang menerpa membantu. Sebenarnya 'Dia seorang teman' adalah sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan dua orang teman. Watak hero bernama Syam; seperti namaku dan heroinnya bernama Aisyah. Berlatarkan kehidupan sebagai anak desa Tambak Budi sebuah kampung nelayan Syam dibesarkan dalam keluarga sederhana dan belajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Manakala Aisyah membawa watak gadis pintar yang juga anak jati Tambak Budi tetapi membesar dan menghabiskan usia kanak-kanaknya bersama Ibu saudaranya di daerah lain.

Bapanya seorang pesara tentera sedang ibunya pula seorang pendidik. Syam bertemu Aisyah di Pantai desanya sewaktu berhibur mendengar kicauan camar dan memerhati alam. Kebetulan mereka satu sekolah malah sekelas. Semenjak sapaan pertamanya dibalas, Syam dan Aisyah membina keakraban sebagai kawan sekelas. Berpendidikan di Sekolan Agama dan tinggal di asrama. Mereka membawa watak bijak sehingga berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM hasil kecekalan usaha bersama. Setelah SPM diumumkan Syam dan Aisyah memohon ke Matrikulasi UIAM. Permohonan mereka berjaya. Namun Keluarga Syam menginginkan dia melanjutkan pelajarannya ke Jordan. Kemahuan keluarga diturutkan dan Aisyah terasa diabaikan. Aisyah hilang pertimbangan. Dia menghilangkan diri. Sewaktu permusafiran Syam ke Jordan, Aisyah menukar haluan. Dia tidak mendaftar di Matrikulasi UIAM sebaliknya memilih untuk belajar di Kolej Swasta. Tinggal bersama rakan-rakan liar di rumah sewa. Aisyah mula berubah. Dia meninggalkan kelazimannya menutup aurat. Akhirnya Aisyah terjebak alias diseret ke dunia jengkel Lesbianisme. Mencintai kaum sejenis dan hubungan Seks di luar tabie. Syam terpana sewaktu mengetahui berita itu melalui buku kecil milik Aisyah yang sengaja ditinggalkan terlempar di pantai sewaktu bertemu dengan Syam yang baru pulang dari Jordan.

Dari apa yang tertulis dalam buku itu, barulah Syam mengerti Aisyah menaruh harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Diruntun desakan ibunya (syam) supaya perhubungan antaranya dengan Aisyah ada pertalian dan ikatan. Akhirnya Aku (penulis) menemukan jodoh mereka. Syam bertemu Aisyah di pantai setelah memohon petunjuk melalui solat istikharahnya. Syam melamar Aisyah. Cinta yang terbina dari kekuatan kesetiaan. Percintaan perlu ada pertautan iaitu perkahwinan. Namun sayang sekali.... adakah Syam yang terlambat atau Aisyah yang bersalah!!!

AaaaaahhhhHHHHHH…..!!!!! Pening! Mindaku ligat berfikir tentang kisah yang pernah aku nukilkan. Di mana salahku? Sehingga aku diserang suara-suara ganjil yang

mengaku sebagai Syam dan Aisyah. Aku pernah mencipta watak-watak lain. Misalnya watak Alif sebagai hero dalam cerpen berjudul 'Lagenda Gadis Kedai Bunga', watak Wirda heroinnya, Watak Fatimatul Zahra dalam cerpen 'Warkah Buat Puteriku', watak Taufiq, Fuad, Azmi dan Fikri dalam 'Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah', Alif, Siti, Fakrul dan Saiful dalam Nostalgia 797 malah banyak lagi; kesemuanya tidak pernah mengganggu aku. Tapi watak Syam dan Aisyah dalam cerpen Dia seorang

Teman tiba-tiba menggangguku pula. Mengapa? aHHH... Aku kepeningan memikirkan hal itu. Apa salah aku sehingga Syam dan Aisyah seolah tidak berpuas hati denganku. Aku Buntu!

Aku menemukan mereka sebagai pasangan kawan yang ideal pada awalnya. Aku tautkan kasih sayang yang lahir dari jiwa seorang teman, sehingga saat perpisahan mereka dirasakan amat berat kala remaja. Aku wujudkan perasaan cinta yang terbina dalam runtunan jiwa remaja mereka berdua sewaktu dipisahkan. Dan aku temukan mereka di desa asal mereka sehingga Syam akhirnya menyatakan kecintaan yang lahir dalam jiwa mereka yang sudah lama terbina. Akhirnya aku tautkan percintaan murni mereka itu dengan perkahwinan sebagai ikatan yang sah. Di mana lagi silapku? Ah! Barangkali benarlah seperti yang pernah dituturkan; 'Sesuatu kelebihan yang ada pada diri seseorang, kadang-kala dinilai sebagai kelemahan oleh mereka yang berada di pojok yang lain.'

Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman ligat bermain di mindaku. Aku mencicip milo yang masih berasap yang dihidang Kak Long. Kujamah cucur udang cicah kuah kacang pekat. Aku tersenyum sendiri. Jika suara-suara tadi datang lagi, sekurang-kurangnya aku sudah bersedia dengan jawapan untuk memastikan aku tidak bersalah. Kak Long pernah manjadi penulis karya kreatif suatu masa dahulu. Dia Digilai peminat. Malah dari kalangan peminatnya seorang jejaka yang kini menjadi suaminya.

Namun kini Kak Long sudah tidak aktif menulis lagi. Mengapa agaknya? 'Adakah dia juga diganggu watak-watak yang pernah dia cipta seperti apa yang aku alami? Kalau diganggu; adakah itu yang menyebabkan dia berhenti menulis?' Watak Syam dan Aisyah menuduhku lelaki tanpa perasaan, pasif, angkuh dan ego dengan kekacakan. Malah tidak pernah memikirkan perasaan orang lain terutama wanita. Aku bermonolog sendiri.

"Apa motif kau berkarya Akhi!" Soalan itu kembali menghantui. Maafkan aku Aisyah. Motifku, ingin meminta maaf daripadamu. Aku tidak pernah menafikan kau seorang teman yang baik. Kau hadir tika lara hati. Kaulah yang memujuk duka hati ini, melepaskan lara, memberikan semangat, mendorong kekuatan dan meresahkan jiwa sesekala warkahmu hadir mengusik.

Aku mengenali Aisyah sewaktu jiwa kekosongan sejurus gagal dalam cinta monyet. Cindrelela pertamaku terpaut hati pada lelaki lain. Belum sempat cinta itu mekar kami dipisahkan. Selepas SPM aku melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Dia masih di peringkat pengajian menengah waktu itu.

Perpisahan mengundang kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Namun itu semua sifar. Bibit-bibit cinta kami berakhir dengan kehadiran jejaka lain dalam hidupnya. Sewaktu menjelajah belantara ilmu di Bumi Laut Mati itu, Aisyah hadir mengisi kekosongan. Aku minta maaf darimu... Aisyah. Aku tidak tahu seawal perkenalan itu cintamu berputik padaku. Sedangkan aku masih belum bersedia menerima cinta itu lagi setelah gagal dengan cinta pertama. Aku terkasima memikirkan perjalanan hidup di usia remajaku. Aku mula sedar kala perhubungan kita semakin akrab cemburuku mendahului segalanya. Mungkin hatiku mula membina istana cinta terhadapmu. Aku mendapat tahu kau menjalin hubungan dengan lelaki lain. Aku tidak betah menerimamu secara realiti lagi setelah itu, meskipun cintamu terhadapku semakin berkembang. Aku terseret mengungguli cara As-Syahid Syed Qutub yang pernah meninggalkan cintanya terhadap seorang gadis gara-gara gadis itu ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. As-Syahid kemudiannya menumpukan cintanya pada perjuangan Islam.

Beliau akhirnya syahid di tali gantung sebagai hadiah cintanya terhadap janji Ilahi. Aku?

Hubungan kita akhirnya hambar. Lantas sengaja aku gunakan namamu, Aisyah sebagai watak penyeri untuk cerpen Dia Seorang Teman. Aku tidak bermotif menyakitkan hatimu, malah bukan untuk menambah sengsara jiwamu. Niatku sekurang-kurangnya watakmu bersatu dengan cinta Protagonis bernama Syam seperti namaku jua. Itu cara terbaik untukku meminta maaf. Aku kirimkan manuskrip cerpen itu padamu supaya dapat kau membacanya. Itulah motifku yang hakiki.

Selama seminggu selepas aku dihantui suara-suara misteri yang mengakui dirinya sebagai watak-watak cerpen Dia Seorang Teman kuhabiskan untuk mengumpul kekuatan, mencari idea dan menajamkan hujah. Penulisanku tergendala. Beberapa cerpen yang sedang kutulis terbengkalai. Esei ibarat karangan merapu. Malah penghasilan puisi-puisiku hambar dan tidak bernafas lagi. Aku kesesatan dalam belantara dunia penulisan. Dunia yang aku tempah sendiri. Berkenalan dengan penulis-penulis gergasi dan menceduk ilmu daripada mereka sehingga mampu menghasilkan cerpen-cerpen bermutu. Menggulung falsafah dan menaladeni disiplin penulisan yang mapan.

Sentuhan penulisan kreatifku semakin pudar warnanya. Lakaran puisi-puisiku setelah peristiwa itu hanya layak dibakulsampahkan. Kalau dihantar ke meja editor penerbitan hanya untuk menyemakkan cuma. Aku hilang semangat menulis. Rupanya apa yang aku alami disedari beberapa teman karyawan. Sukar aku menjelaskan situasi konflik yang kualami. Mereka pasti tidak memahaminya atau aku bakal ditertawakan nanti.

"Kenapa ni Abang? Termenung jer Su tengok dari tadi." Suraya isteriku mampir menegur. Igauanku serta-merta sirna. Nostalgia sewaktu menjadi Cerpenis alias pengarang kreatif suatu masa dulu hilang. Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman yang berlegar di minda hilang tiba-tiba. Aku kini sudah berumah tangga dan keaktifan menulis semakin kurang. Barangkali akibat kesibukan dengan kerjaya sebagai pensyarah di UITM.

"Petang-petang begini memang seronok termenung." Jawabku selamba.

"Ye lah... seronok. Lagi seronok kalau terkenangkan sesuatu yang istimewa." Ujar Suraya sinis memintas sambil perlahan-lahan duduk di kerusi batu sebelahku.

"Istimewa? Tak adalah... Mana ada. Nak kenangkan apa pula?"

"Mana lah Su tahu. Entah-entah...." Aku menoleh ke arah isteriku sambil tersenyum. Kalimah Suraya mati di situ.

"Entah-entah apa?"

"Entah-entah masih teringatkan Si 'dia' kot?"

"Siapa?"

"Sapa tu, Ai... Aisyah kot." Teka isteriku mengingatkan.

"Mana Su tahu ni?"

"Alah... Su dengar abang sebut nama tu tadi seorang-seorang."

"Betul ke?" Soalku menduga. Suraya menangguk.

"Su... dalam jiwa abang kasih dan sayang abang hanya buat isteri abang. Cinta abang hanya untuk Su! Sebab cinta abang hanya tumpah kepada insan yang menyintai

abang. Janganlah salah sangka."

"Akhi! Aku ibarat bayanganmu. Kau ciptakan aku sesedap rasa. Ibarat menterjemah kehidupanmu. Keluarga yang memartabatkan ilmu, Justeru ayahmu menghantar kau belajar di Jordan. Itulah yang kau lakarkan dalam Cerpen Dia seorang Teman. Unik dan cantik sekali lakaranmu terhadap watakku yang juga watakmu." Tutur Suara misteri berwatak Syam memotong perbualanku dengan Suraya.

"Jadi? Kenapa mesti kau tak puas hati dengan ciptaanku terhadapmu?"

"Aku tak puas hati kerana kau ciptakan Aisyah seorang yang terjebak lesbianime." Aku tersenyum mendengar tutur itu.

"Salah?" Soalku sambil mengangkat kening.

"Tentunya."

"Ia hanya sekadar cerpen. Kau harus faham. Cerpen adalah cereka yang belum tentu sahih. Namun tidak dinafikan ada cerpen yang bertitik tolak kisah benar. Dia Seorang Teman; bermotif untuk menonjolkan nilai pengorbanan yang tinggi dari seorang lelaki terhadap seorang wanita bernama Aisyah selain nilai-nilai lain. Aku menyeret khalayak pembaca menilai lesbianisme dan homoseksual adalah kepincangan yang wajib dibuang jauh dari dunia umat Islam." Jawabku yakin.

"Aisyah gadis baik. Berpendidikan agama di peringakat menengah. Dibesarkan dalam keluarga yang bertatasusila. Mengapa kau jebakkan dia dalam lesbianisme?"

"Itu bukan hal pelik. Kau lihat sahaja, ada gadis yang terjebak dalam kancah cinta dengan lelaki berlainan agama sanggup menukar agamanya alias murtad. Itukan lebih teruk?"

"Bukankah lebih baik kau temukan cinta antara aku dan Aisyah awal-awal? Barangkali boleh menghalang Aisyah daripada terjebak lesbianisme."

"Hei... cinta sejati cinta yang perlukan pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan..." Aku mengumpul kekuatan berhujah.

"Cinta sejati jarang tiada halangan. Kau lihat sahaja Kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Betapa benih cinta di hati Zulaikha tumbuh menyebabkan Yusuf terpenjara. Namun setelah Yusuf dibebaskan dan terpilih menjadi wazir cinta Zulaikha terhadap Yusuf bersatu. Zulaikha ditemui Yusuf di pasar dalam keadaan yang comot menyebut-nyebut nama Yusuf, sedangkan Zulaikha asalnya seorang jelitawan. Itu kisah cinta sejati yang bersatu. Ada juga cinta sejati yang tidak bersatu, terpisah dengan kematian dan sebagainya. Kau masih beruntung. Watakmu kucipta bersatu dengan Aisyah." Jelasku panjang lebar.

"Bukan itu maksudku!"

"Habis maksud kau... aku tidak boleh memisahkan kau dan Aisyah? Kau tidak boleh ke Jordan? Kalian perlu mendaftar di Matrikulasi UIAM bersama-sama. Begitu?"

Soalku mendesak. Tiada jawapan terpacul.

"Kau yakin cinta Aisyah padamu? Atau sedalam mana cintamu pada Aisyah? Atau kau nak kepastian ada bibit-bibit cinta Aisyah terhadapku dalam dunia relitinya. Aku baru nak menanam keyakinan. Tapi istana keyakinanku roboh ketika aku dikhabarkan Aisyah menjalin persahabatan dengan lelaki lain. Cemburuku begitu. Akukah yang bersalah tidak mampu menerima cinta Aisyah?"

Soalan terakhirku melenyapkan suara-suara misteri yang menggangguku. Aku lega setelah itu.

Dalam Cerpen Dia Seorang Teman aku menemukan Aisyah dan Syam. Itu cuma watak-watak yang barangkali tidak terjadi antara Syamsul Bukhari dan Aisyah sebenar dalam dunia realiti. Cukuplah sekadar aku menggunungkan falsafah pengorbanan seorang lelaki terhadap seorang temannya dalam cerpen. Dalam dunia nyata hidup bukan ibarat plot-plot cerpen yang bebas dilakarkan. Pengorbananku barangkali sesuai untuk insan lain. Aku menilai cinta sejatiku untuk insan bergelar isteri.

Kali terakhir aku membaca kalimah-kalimah Aisyah sewaktu masih berada di Jordan. Aisyah melafazkan dia sukar melupakan insan bernama Syamsul Bukhari. Sayang.

Semuanya sudah terlewat. Aku diikat pertunangan dengan Suraya, gadis pilihan keluarga yang kukenali semenjak kecil lagi. Cinta Suraya terhadapku cinta sejati. Mungkin cinta itu berputik sewaktu ayahnya pernah bergurau untuk berbesan dengan ayahku semasa kami masih kecil. Sewaktu aku berhempas pulas menamatkan pengajian di Jordan Suraya menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Cinta kami bertaut kembali di tanahair dan diikat dengan perkahwinan. Sepertimana aku pernah ciptakan untuk Syam dan Aisyah dalam Dia Seorang Teman.

Semalam aku terima emel dari Aisyah. Dia menjemputku ke majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka yang mengembalikan cintanya bernama Hisyam. Masih bernama Syam. Tahniah buatmu Aisyah.

"Abang khayal lagi?"

"Tak... abang tengah fikirkan sesuatu."

"Pasal apa?"

"Anak abang macam mana?" Soalku menukar topik sambil tanganku menjamah perut isteri tercinta seraya mengurut-ngurut cermat. Suraya tersenyum mesra. Perut isteriku semakin membesar hamil anak sulung hasil perkahwinanku dengannya sejak hampir setahun yang lalu.

"Anak abang jer?" Pintas Suraya bernada rajuk.

"Anak abang kan anak Su juga!" Wajah keruh Suraya kembali ayu.

"Bang... apa kita nak namakan anak kita ni?" Soal Suraya manja.

"Kalau perempuan kita namakan Humaira. Mesti comel macam ibunya."

"Emmm... sedap nama tu. Kalau lelaki?

"Kalau lelaki kita namakan Muhammad Al-Amin. Amacam?"

Bukankah Aisyah Ummul Mukminin isteri Nabi Muhammad SAW dipanggil Humairah?"


p/s: anak ana nanti nk bg nama AISHAH HUMAIRA.ok x??:)

Motivasi "CINTAI DIRI"

|



Bismillahirrahmanirrahim.Alhamdulillah,pada 22hb yang lepas Unit Akademik(UA) dan Unit Kebajikan dan Penempatan(UKP) PRISMA telah mengadakan Ceramah Motivasi “CINTAI DIRI” bertempat di Underground Villa Hijau selepas solat maghrib.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis Saudara Mohd Firdaus dan bacaan ayat-ayat suci al-quran secara bertarannum oleh Saudara Fadhil Noor.


Kemudian,majlis diteruskn dengn sesi Motivasi oleh Penceramah Jemputan,Ustaz Nordin Bin Samah,Pelajar Sarjana dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Albayt.Ustaz Nordin menerangkan kpd semua pelajar tentang kepentingn mencintai atau menyayangi diri sendiri.Ustaz juga memberikan nasihat-nasihat berguna yang dipetik dari Kitab Ihya’Ulumuddin,karangan Imam Al-Ghazali.


Seusai sessi motivasi,ustaz nordin juga mengendalikan Slot S.W.O.T. untuk sessi ini ini para peserta diminta membahagikan kertas yang diedarkan kepada empat bahagian dan diminta untuk mengisi ruangan itu bagi 1.STERGTH 2.WEAKNESS 3.OPPURTUNITY 4.THREAT. setiap peserta mesti mengenalpasti kekuatan,kelemahan,peluang dan ancaman di sekeliling mereka bagi mencapai matlamat diri.



Majlis kemudian ditangguhkan selepas sessi menyampaikan cenderahati kepada penceramah oleh Ustaz Mohd Nasir.Presiden PRISMA. Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan program yang dijalankan.Pihak PRISMA mendoakan agar kita sama-sama dapat mengambil manfaat dari apa yang disampaikan pada Ceramah Motivasi ini.Cintailah diri KERANA DIRIMU BEGITU BERHARGA.


Disediakan Oleh:


Abu Bakar Bin Mohamad Noor,

Ketua Unit Kebajikan & Penempatan

Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-Albayt(PRISMA)