Mengingati Maulidurrasul

|



Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi’ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain.
Maulidur Rasul

Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.

Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.

Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Maksudnya : “Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.

Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.

Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.

Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.

Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :

1.Sebagai Ketua Keluarga Yang Mulia Dan Bertanggungjawab

Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

2.Sebagai Pemimpin Yang Bijaksana

Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang.

Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda baginda :

"
اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

3.Memiliki Akhlak Yang Sempurna

Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.

Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.

Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Maksudnya : “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )


p/s: katanya MSD nk anjurkan perarakan maulidurrasul utk student2 m'sia di jordan ni..kita kn siap sediala nk jwb kl arab kata bidaah.:)

Dosa Fitnah

|




Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.


Firman Allah bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)


Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.


Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.


Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.


Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.

Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’

Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.


Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.


Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel, SMS, Komen di Facebook, menulis blog dan sebagainya.

Bahaya VALENTINE Kepada Akidah Umat Islam

|



Akhir-akhir ini budaya dan adab Melayu yang tersemat sejak sekian lama kian pudar dan terhakis. Tambah memilukan ialah adab Melayu yang kian terhakis tersebut adalah nilai murni yang terhasil daripada ajaran Islam yang suci. Apabila orang Melayu sudah melupai nilai dan ajaran Islam, maka sudah tentu segala kemuliaan bangsa akan lenyap dan hancur. Begitulah keadaannya dengan masyarakat Arab sebelum Islam, mereka dikenali sebagai masyarakat Jahiliyyah yang diselubungi dengan kehinaan. Apabila mereka menerima segala ajaran Islam, maka bangsa Arab dimuliakan Allah.


Namun, apabila mereka kembali melupai ajaran Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan, maka mereka kembali ditimpa dengan pelbagai kehinaan. Benarlah sebagaimana ucapan Saidina Umar al-Khattab yang menyatakan:


“Kita adalah suatu bangsa dan golongan yang telah dimuliakan Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada Islam, sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan!”.


Antara pencemaran agama dan budaya pada bulan Februari ini ialah sambutan Hari Kekasih atau dikenali sebagai Valentine’s Day. Sambutan Valentine’s Day ini kononnya adalah untuk menyemarakkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu masyarakat Melayu tidak terkecuali begitu bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk menyambut Hari Kekasih ini yang jatuh pada tanggal 14 Februari pada setiap tahun.


Terdapat pasangan yang ingin berkahwin pula sengaja memilih tarikh 14 Februari yang dianggap tarikh ‘keramat’ ini untuk melangsungkan perkahwinan dengan harapan perkahwinan tersebut akan memperoleh ‘keberkatan’.


Budaya menyambut Hari Kekasih ini semakin popular dari semasa ke semasa. Anak-anak muda yang baru mencecah usia baligh pun sudah tahu apa itu Valentine, sedangkan pada masa yang sama mereka masih terpinga-pinga apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. Apabila menjelangnya bulan Februari, didapati iklan-iklan tentang sambutan Valentine's Day ini boleh didapati dimana-mana, yang sekaligus menyemarakkan jiwa remaja untuk menyambutnya.


Media arus perdana juga tidak ketinggalan dalam menghidangkan promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang berkisar tentang perayaan ini.

Sebagai umat Islam, kita wajib mempersoalkan apakah Valentine's Day ini suatu bentuk perayaan yang boleh disambut atau pun tidak?. Umat Islam sewajarnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya dan agama selain daripada Islam, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Ini kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, malahan boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.


Mengikut sejarah, Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa versi yang mengaitkan paderi St. Valentino ini dengan sambutan Valentine's Day. Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan dengan itu, tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan tersebut pada setiap tahun, sekaligus dapat mengenang jasa St. Valentino itu.


Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam Sepanyol, dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam, manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan bahawa dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Perkara ini menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengikut mazhab Protestan, apatah lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.


Ratu Isabella murka dengan hasrat St. Valentino itu, lantas memerintahkan agar beliau dipenjarakan. Namun, baginda tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan tarikh 14 Februari sebagai 'Hari Mengingati Kekasih' yang ditujukan khas untuk memperingati St. Valentino.


Versi yang seterusnya menyatakan bahawa pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentino dibunuh kerana penentangannya terhadap penguasa Rome pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Ekoran daripada itu, St Valentino telah dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, lalu untuk mengagungkannya, para pengikutnya telah menjadikan tarikh memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.


Berdasarkan sejarah asal-usul sambutan Valentine's Day ini, mengapakah masih terdapat umat Islam yang masih menganggap bahawa Hari Valentine itu begitu istimewa? Mengapakah masih terdapat umat Islam yang hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli dan semberono sedangkan mereka mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu?! Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:


'Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.'


Diharap agar kesilapan lalu tidak diulangi lagi, lantas masyarakat Islam harus sedar agar tidak lagi terlibat dalam sambutan yang bercanggah dengan Islam ini!


Mencari yang..atau Menjadi yang..

|



“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya”, kata seorang mahasiswi.

“Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!”, tegas seorang mahasiswa.

Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?

Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita pada benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.

Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.